SHAH ALAM – Polis Selangor akan menempatkan anggota narkotiknya untuk menyamar pada penganjuran konsert besar susulan kematian penonton pada konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang akhir bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, modus operandi itu bukan perkara baharu dilaksanakan, cuma ia tidak dihebahkan kepada umum sebelum ini.
“Kami merancang untuk memantau lebih berterusan dan bukan ketika konsert sahaja kerana penganjurannya hanya sekali sekala namun akan terus melakukan risikan bagi mengekang penjualan dan penyalahgunaan dadah.
“Sebelum ini memang ada anggota yang sudah ditempatkan (di konsert), cuma ia tidak dihebahkan tetapi konsert di Bandar Sunway menjadi perhatian masyarakat kerana melibatkan kematian penonton,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Pada 31 Disember lalu, media melaporkan empat termasuk dua wanita berusia 20 hingga 40-an maut disyaki mengambil ekstasi selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway.
Serentak itu, Polis Selangor menangguhkan sementara kelulusan permit penganjuran konsert bagi mengelak insiden pengunjung yang maut akibat dadah berulang.
Hussein ketika itu berkata, langkah serta merta itu diambil supaya mana-mana penganjur boleh mengambil kawalan keselamatan terutama dalam aktiviti penjualan dadah.
Katanya, dalam konsert ambang tahun baharu Pinkfish di Bandar Sunway itu penganjur didapati gagal mengawal aktiviti pengedaran dadah.
Mengulas lanjut, Hussein memberitahu, polis juga sedang mengkaji untuk menentukan jumlah penonton yang sesuai dalam sebuah konsert mengikut lokasi,
Beliau berkata, langkah itu bagi mengelak venue konsert melebihi kapasiti yang telah ditetapkan.
“Cadangan itu adalah antara langkah yang bertujuan untuk mengenakan syarat lebih ketat untuk konsert masa depan di negeri ini.
“Kami akan bertemu dengan pihak berkuasa tempatan tidak lama lagi untuk memuktamadkan keperluan untuk konsert akan datang,” katanya.
Sementara itu, mengenai siasatan konsert PinkFish, Hussein berkata, dua daripada tiga suspek yang ditahan kerana menjual ekstasi telah didakwa pada 7 dan 9 Januari lalu.
“Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan 15(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek ketiga dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya. – MalaysiaGazette