IPOH – Perak menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi menyiasat dakwaan seorang khatib yang dikatakan tidak membacakan teks Khutbah Jumaat yang disediakan pihak berkuasa agama negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara berkenaan seharusnya tidak timbul kerana setiap teks Khutbah Jumaat telah disiapkan lebih awal iaitu kira-kira sebulan atau dua bulan sebelum ia diterbitkan untuk edaran.
Katanya, tindakan membacakan teks khutbah dari negeri lain juga perlu dirujuk kepada JAIPk bagi turut menjalankan siasatan sama ada ia melanggar mana-mana peruntukan perundangan atau sebaliknya.
“(Seharusnya) tak ada masalah teks khutbah itu untuk dibaca, kerana memang ada arahan daripada JAIPk agar semua masjid di Perak membacakan teks yang telah disediakan.
“Jadi sekiranya ada mana-mana masjid atau khatib yang membacakan teks Khutbah Jumaat luar daripada yang disediakan JAIPk, ‘ there might be something wrong somewhere’ (mungkin ada sesuatu yang tidak kena).
“Walau bagaimanapun, saya percaya JAIPk akan menyiasat hal ini bagi memastikan ia benar atau tidak” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man.
Saarani sebelum itu diminta mengulas berkenaan dakwaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang mengatakan terdapat seorang khatib di Perak yang tidak membacakan teks Khutbah Jumaat yang disediakan JAIPk.
Menerusi hantaran pada laman Facebook pada Jumaat, Hasnul Zulkarnain mendakwa individu berkenaan sebaliknya membacakan teks yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
“Seorang khatib tidak membaca teks khutbah yang dikeluarkan JAIPk. Saya telah hubungi ustaz tersebut. Dia baca teks khutbah Pulau Pinang,” tulis beliau.
Dalam pada itu Saarani menegaskan bahawa, teks Khutbah Jumaat pada minggu ini tidak merujuk kepada mana-mana individu, sebaliknya ia bersifat umum selain mahu memperingati masyarakat Islam tentang bahaya fitnah.
Jelas beliau, teks itu menyentuh peristiwa fitnah terhadap isteri Nabi Muhammad SAW, Saidatina Aisyah RA iaitu peristiwa Al-Ifki yang berlaku dalam bulan Syaaban.
“Teks khutbah dikeluarkan berasaskan kepada peristiwa itu, sebagai peringatan bahawa fitnah itu sangat merosakkan sehingga boleh menyebabkan perselisihan pendapat, bercerai-berai, dan pergaduhan. Itulah pengajaran daripada khutbah itu.
“Ia bersifat umum, dan bukan kali pertama kita dengar Khutbah Jumaat yang menyentuh soal fitnah. Jadi ia sepatutnya tak jadi masalah, kecuali jika ada yang seperti termakan cili kerana terasa pedas,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan JAIPk menerbitkan teks khutbah minggu ini bertajuk ‘Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki’ berdasarkan kepada peristiwa fitnah ke atas Aisyah. – MalaysiaGazette