KUALA LUMPUR – Berpunca dengan pertengkaran disebabkan wang RM20, seorang pekerja ladang kelapa sawit maut ditikam berulang kali oleh rakan sekerjanya di Ulu Lumagar, Bongawan, Papar Sabah.
Dalam kejadian jam 8 malam Khamis lalu, mangsa warga Filipina berusia 37 tahun itu dilaporkan bertanya mengenai wang tersebut yang diberi oleh isterinya untuk membeli ikan dan roti.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, rakan mangsa dikatakan tidak membantu isterinya membeli makanan berkenaan namun tidak juga memulangkan semula wang berkenaan.
“Ini kerana menurut isteri mangsa, wang diberikan kepada suspek untuk membantunya membeli ikan dan roti, namun suspek tidak ada membeli barang berkenaan atas alasan kedai tutup.
“Wang tidak pula dipulangkan semua kepada isteri mangsa. Sebelum kejadian itu juga dikatakan isteri mangsa pernah meminjamkan wang RM30 kepada suspek namun belum membayar wang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelasnya, pertengkaran antara dua rakan sekerja itu berlanjutan selepas suspek enggan mengaku dan tidak mahu memulangkan semula wang itu.
“Ketika pertengkaran mulut berlaku, suspek bertindak masuk ke dalam rumahnya dan mengambil pisau kecil lalu terus menyerang mangsa dengan menikam mangsa berkali-kali di tubuh mangsa.
“Mangsa kemudian berusaha masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan berdarah untuk mengambil senjata bagi mempertahankan diri tetapi mangsa rebah berhadapan rumahnya,” katanya.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Susulan itu Kamaruddin berkata, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah dan pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Balai Polis Papar, menahan suspek dalam serbuan di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan pada 12 tengah hari semalam.
Turut ditahan dua lelaki, dua wanita warga Indonesia dan Filipina berusia 20 hingga 60 tahun selain merampas sebilah pisau berhulu kayu dipercayai senjata digunakan menikam mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette