KUALA LUMPUR – Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyambut baik hasrat Malaysia untuk menghulurkan bantuan dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, usaha murni kerajaan perpaduan untuk menjadi antara barisan hadapan dalam memberikan bantuan permulaan kepada penduduk Gaza dengan membina sekolah, hospital dan masjid akan memberikan sinar baharu kepada penduduk Gaza.
“Setelah 15 bulan menghadapi serangan yang tiada henti, rakyat Gaza kini mula melihat sinar harapan dengan termeterainya perjanjian gencatan senjata.
“Namun, kesengsaraan yang mereka alami tidak terhitung. Puluhan ribu nyawa tidak berdosa terkorban, sementara masjid, hospital, sekolah dan rumah iaitu tempat berlindung dan tempat mencari ilmu telah musnah dalam kekejaman yang tiada perikemanusiaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Baru-baru ini, Anwar mengumumkan bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin yang akan dijalankan menerusi kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Beliau berkata, usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara Kerajaan Jepun dengan Malaysia berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur selepas gencatan senjata dilaksanakan Ahad lepas.
Dalam pada itu, Dr Kamal Nasharuddin berkata, penduduk Gaza perlu bangkit dalam membina semula kehidupan daripada runtuhan yang ditinggalkan malah bantuan yang akan disalurkan Malaysia jelas membuktikan mereka boleh bangkit semula daripada kekejama zionis Israel.
“Di pihak Humanitarian Care Malaysia akan mempertingkatkan lagi bantuan kemanusiaan ke Gaza sesuai dengan keperluan mendesak di wilayah itu.
“MyCARE telah menggerakkan bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak hari pertama genosid pada 7 Oktober 2023. Setakat ini, lebih RM16 juta bantuan kemanusiaan telah berjaya disalurkan dengan kerjasama pelbagai pihak melalui pejabat MyCARE di Gaza,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar menggesa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selalu berurusan di Gaza dan Palestin turut serta dalam membantu kerajaan.
Ia apabila Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi bagi mendukung komitmen Perdana Menteri membantu membangunkan semula Gaza akan memulakan mesyuaratnya pada Khamis depan. – MalaysiaGazette