KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan berlakunya kegiatan menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import menyebabkan bekalan beras tempatan tiada di pasaran sehingga kini.
Beliau mendakwa, masalah ketiadaan bekalan beras tempatan tidak akan selesai selagi kegiatan yang didalangi kartel tidak dibanteras sepenuhnya oleh agensi berkaitan.
Berikutan itu, beliau mencabar kuasa menguruskan tanaman dan industri padi diberikan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan bekalan beras tempatan dipulihkan.
“Mereka kata Menteri Besar buat apa beras hilang kerana padi tanam di Kedah? Cuba mereka bagi kuasa beras pada saya kerana kerajaan negeri tidak ada kuasa pada beras. Apabila ditubuhkan Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) pada 70-an, agensi ini mengawal kawasan tanaman padi.
“Ada macam-macam agensi kawal industri pula, lesen beli padi, lesen simpan padi, lesen kilang padi kemudian ada lesen simpan dan jual beras, semua ada lesen di bawah kementerian.
“Isu benih tak selesai, saya biasa kata ada kartel kawal industri padi, mereka marah kata saya tak betul. Selagi tak dipecahkan kartel, tak ada kesungguhan keberanian untuk menghadapi kartel ini, isu beras padi tak akan selesai,” katanya lapor media tempatan.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, kegiatan kartel padi perlu dibanteras sepenuhnya, sekiranya kerajaan benar-benar mahu membela nasib petani dan rakyat.
Katanya, petani yang menanam padi dibelenggu masalah apabila ‘diikat’ kilang padi melalui sistem Kangchu sejak dahulu lagi menyebabkan mereka terus mengalami kesempitan hidup.
“Ada kartel kawal benih, ada kartel kawal harga belian padi dan jualan beras, menipu petani tetapi mereka marah kata saya tak betul. Sekarang jadi apa? Sekarang mereka duduk bersama kartel.
“Mereka tahu tak puak ini tukar bungkusan beras tempatan kepada beras import? Takkan mereka tak tahu kerana kita pun tahu. Orang duduk kampung pun tahu.
“Pada biji beras tak ada ditulis beras import atau tempatan, tulisan ada di kampit. Dia tukar bungkusan dari harga RM23 boleh jual RM43. Itu saja mereka buat, pergi cari periksa,” katanya. – MalaysiaGazette