KUALA LUMPUR – Seorang warga emas lelaki maut selepas dilanggar sebuah kereta di KM 17.1 Jalan Klang-Banting-Port Dickson dalam daerah Kuala Langat pada 7.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohd Akmal Rizal Radzi berkata, sebelum dilanggar kereta berkenaan, mangsa yang berusia 70-an itu terjatuh dilanggar sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Klang ke Banting.
“Apabila sampai di tempat kemalangan, semasa penunggang motosikal sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak seorang pejalan kaki yang sedang melintas jalan dari kanan ke kiri jalan.
“Akibat perlanggaran itu, pejalan kaki jatuh di permukaan jalan di lorong kanan. Dalam masa yang sama, datang sebuah motokar jenis Perodua Alza dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar pejalan kaki itu,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Manakala penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC adalah lelaki tempatan yang berusia 30-an mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan mendapatkan rawatan di HTAR, Klang.
“Pemandu motokar jenis Perodua Alza itu adalah lelaki tempatan berusia 30-an tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Ujar beliau, pemandu kereta tersebut telah memberi keterangan kepada pihak polis.
Menurut Akmal Rizal, kes berkenaan diklasifikasikan di Bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes iaitu Pegawai Penyiasat Trafik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Langat, Ins Taneswaran A/LSeritharan di talian 012-6708561 atau 03-31872222,” tambahnya. – MalaysiaGazette