Suasana para peserta bersorak pada Himpunan Rakyat Benci Rasuah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Dataran Merdeka. Foto SADIQ SANI, 25 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengkritik tindakan pihak berkuasa yang memanggil seramai 13 mahasiswa untuk disiasat selepas menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada 25 Januari lalu.

Tindakan itu  dilihat bercanggah dengan jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri bahawa himpunan tersebut dibenarkan.

“Kerajaan seolah-olah mengamalkan dasar ‘cakap lain, buat lain’ dengan bersikap terbuka di hadapan umum tetapi dalam masa yang sama menggunakan polis untuk menekan mahasiswa.

“Jadi, yang mana satu betul? Apakah ini dasar kerajaan sekarang di mana di depan umum, pura-pura terbuka kepada perhimpunan rakyat, tetapi di belakang, senyap-senyap guna polis untuk menyusahkan mahasiswa?” soal MUDA dalam satu kenyataan hari ini.

Parti itu turut menegaskan bahawa tindakan terhadap mahasiswa ini menunjukkan kerajaan kini menjadi seperti pihak yang pernah mereka lawan.

MUDA turut memuji keberanian mahasiswa dan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah yang berhimpun, menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah demi menuntut integriti dan ketelusan.

“Kami menghormati institusi polis dan memahami tugas mereka dalam menegakkan undang-undang. Namun, kami mengecam sebarang usaha menjadikan pasukan keselamatan sebagai alat politik untuk menekan rakyat terutamanya mahasiswa yang menggunakan hak mereka untuk berhimpun secara aman,” tambahnya.

Jika benar kerajaan mahu membuktikan komitmen terhadap reformasi, mereka seharusnya memastikan perasuah yang dipanggil polis, bukan mahasiswa yang menentang rasuah.

“Kepada mahasiswa yang disiasat, teruskan dengan keberanian dan kejelasan prinsip. Jika melawan rasuah adalah satu jenayah, maka biarlah sejarah mencatat siapa yang berdiri di pihak yang benar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here