Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan ‘perang’ sekiranya DAP masih berdegil mahu mewujudkan Jonker Walk 2.0 dalam kawasan perniagaan Melayu di Jalan Hang Tuah, Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, alasan DAP untuk menjadikan kawasan itu sebagai tarikan pelancongan sebenarnya tidak berasas.

“Saya memberi amaran keras sekali lagi kepada DAP supaya hentikan cadangan Jonker Walk 2.0 di mana-mana kawasan perniagaan orang Melayu khususnya Jalan Hang Tuah, Melaka.

“Cadangan Jonker Walk 2.0 adalah dangkal dan selama ini bukannya satu-satunya nadi produk pelancongan bagi Melaka.

“Melaka tidak pernah bergantung kepada produk pelancongan Jonker Walk semata-mata sedangkan banyak lagi produk pelancongan lain.

“Pelancong yang datang ke Melaka bukan hanya semata-mata kerana Jonker Walk,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 26 Januari lalu, MalaysiaGazette melaporkan ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong mencadangkan Jalan Hang Tuah, Melaka dijenamakan semula sebagai Jalan Jonker Walk 2.0.

Chee Leong berkata, ia bertujuan untuk menarik kedatangan pelancong khususnya ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, kawasan itu berpotensi merancakkan ekonomi peniaga dan masyarakat setempat kerana mempunyai ruang siar kaki yang lebih luas berbanding Jonker Walk sedia ada.

Dr Aleef juga mendakwa, kedatangan ribuan pelancong domestik dan antarabangsa ke Melaka boleh terjadi meskipun tanpa kewujudan Jonker Walk.

Sebaliknya, kata beliau, Kerajaan Negeri Melaka sepatutnya lebih mengutamakan pusat perniagaan orang Melayu untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi dan dijadikan sebagai produk pelancongan utama.

“Ini memandangkan rakyat di Melaka majoritinya adalah orang Melayu dan dalam masa sama mempromosikan juga budaya dan produk pelancongan kaum lain.

“Kerajaan mesti menolak cadangan ini. Cukuplah hanya satu Jonker Walk di Melaka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast