KUALA LUMPUR – Seramai 23 orang pengadil tempatan telah dipilih Panel Pengadil Antarabangsa dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai pengadil FIFA bagi tahun ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di laman Facebook hari ini, senarai pengadil itu terdiri daripada tujuh pengadil (termasuk seorang wanita), 10 penolong pengadil (termasuk dua wanita) dan empat pengadil futsal (termasuk seorang wanita) dan dua pengadil bola sepak pantai.
“Simbolik penyerahan lencana Pengadil FIFA tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM serta Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah yang merupakan pengadil FIFA sejak tahun 2020.
“Turut menerima lencana ialah empat Pengadil Futsal iaitu Helday Idang, Norafendy Norhayalan, Faiz Jamaluddin dan Atikah Janah, serta Pengadil Bola Sepak Pantai, Amirul Aizat Lodin dan Syahir Shaharul Nizam,” katanya.
Selain itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman turut memberikan lencana berkenaan kepada Pengadil FIFA sejak tahun 2016 dan calon bagi pengadil Piala Dunia 2016. – MalaysiaGazette