KUALA LUMPUR – Biro Antarabangsa Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional memberikan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri dan Kerajaan Madani bekerjasama dengan negara serta komuniti antarabangsa untuk membina semula Gaza.
Ketua AWAN, Datuk Aiman Athirah Sabu dalam satu kenyataan hari ini berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin yang telah lama tertindas akibat kekejaman rejim Zionis Israel.
“Selepas 15 bulan mengalami pembersihan etnik dan genosid, Gaza kini berada dalam keadaan yang amat kritikal dan pembangunan semula wilayah itu adalah sesuatu keperluan mendesak.
“Isu Palestin bukanlah sekadar isu agama tetapi satu tragedi kemanusiaan yang perlu diberi perhatian global,” katanya.
Oleh itu, AWAN telah menyeru semua pihak, termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti sivil untuk mengetepikan segala perbezaan agama, bangsa dan ideologi politik dalam usaha membantu rakyat Palestin.
“Solidariti yang kukuh daripada rakyat Malaysia akan memberi impak besar serta memperkukuhkan lagi suara masyarakat antarabangsa dalam menyokong perjuangan Palestin.
“Sejajar dengan prinsip Rahmah dan KASIH yang menjadi teras perjuangan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan AWAN, kami bertekad untuk terus memberikan bantuan kepada rakyat Palestin.
“Bantuan yang disalurkan bukan sahaja dalam bentuk material, tetapi juga melalui usaha diplomatik, pendidikan kesedaran, dan tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionis itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: