BUTTERWORTH – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan seorang lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan membunuh ibu kandungnya dalam kejadian di Pangsapuri Seri Orkid di sini pada Jumaat lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal terhadap penganggur berusia 24 tahun itu bermula hari ini sehingga 9 Februari depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Turut direman bagi tempoh sama, kekasih kepada suspek utama itu bagi membantu siasatan.

Terdahulu, pasangan kekasih itu tiba di pekarangan mahkamah diiringi polis dengan berpakaian lokap berwarna oren pukul 10.49 pagi.
MalaysiaGazette difahamkan, bau busuk dari sebuah unit di pangsapuri tersebut membawa kepada penemuan mayat wanita berusia 60-an itu yang dipercayai telah dibunuh tiga hari lalu.
Difahamkan berlaku pertengkaran antara dua beranak itu antara pukul 6 petang hingga 8 malam pada Jumaat lalu sebelum mangsa dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian kepala.
Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara memberkas suspek dan kekasihnya berusia 20 tahun di rumah bapa suspek utama di Paya Terubong dekat sini, kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.
Semakan polis juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan memukul kedua-dua ibu bapanya serta positif dadah.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette















