JAKARTA – Enam sekeluarga dilaporkan hilang selepas banjir kilat melanda Bima, Nusa Tenggara Barat pada malam Ahad, menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB).
Jurucakap BNPB Abdul Muhari berkata, pasukan pengurusan bencana tempatan bersama anggota tentera, polis dan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) kini giat mencari mangsa yang hilang.
Agensi itu dalam satu laporan pada Isnin memaklumkan, hujan lebat di kampung Nanga Wera, daerah Wera turut menghanyutkan tujuh buah rumah.
Dalam kejadian berasingan, banjir yang melanda Parigi Moutong, Sulawesi Tengah menjejaskan 100 keluarga di Kampung Sausu Peore pada Sabtu selepas benteng pecah.
Sementara itu, hujan lebat di Luwu Utara, Sulawesi Selatan menyebabkan banjir di kawasan perumahan, ladang dan kolam ternakan ikan di sepanjang Sungai Masamba dan Baliase, mengakibatkan 102 orang terpaksa dipindahkan serta menjejaskan 874 rumah di Malangke, menurut Abdul Muhari.
BNPB menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada, menyediakan bekalan kecemasan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, manakala kerajaan tempatan disarankan untuk memindahkan penduduk yang tinggal berhampiran lereng bukit atau tebing sungai sekiranya hujan lebat berterusan melebihi dua jam. – BERNAMA