Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU- Polis menahan sepasang suami isteri selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Manir, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata suspek lelaki berusia 32 tahun merupakan bapa kandung mangsa, manakala isterinya yang berumur 27 tahun adalah ibu tiri mangsa.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan di kediaman mereka malam tadi susulan laporan oleh ibu kandung mangsa.

“Siasatan mendapati mangsa tinggal bersama suspek lelaki pada 2019 selepas mendapat hak penjagaan penuh setelah perceraian.

“Mangsa mendakwa telah dipukul oleh suspek lelaki menggunakan tali pinggang dan getah paip, manakala suspek wanita pula memukulnya menggunakan penyangkut baju,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli berkata mangsa mendakwa kejadian tersebut berlaku hampir setiap hari sehingga menyebabkan dia hidup dalam keadaan tertekan dan sedih.

Bagaimanapun, katanya mangsa tidak menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya kerana takut.

“Menurut ibu mangsa, kali terakhir beliau menemui anak lelakinya itu pada hujung Disember lepas tetapi tidak mengesyaki sebarang perkara buruk,” katanya.

Katanya pemeriksaan oleh pegawai perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh mangsa.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here