Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR -Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memfailkan bantahan awal bagi membatalkan keterangan empat saksi pembelaan Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff, dalam kes saman fitnahnya, hari ini.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aliza Sulaiman bahawa keterangan diberikan semua saksi melibatkan perkara di luar skop pliding saman yang difailkan.

Menurut Sangeet, peraturan etika Majlis Peguam Malaysia memerlukan pihak lawan dimaklumkan lebih awal sekiranya terdapat bantahan awal yang ingin dikemukakan.

Bantahan itu dikemukakan dalam perbicaraan saman fitnah yang difailkan Hannah terhadap Kamarul Zaman berhubung dua hantaran Facebook yang dibuat oleh pensyarah tersebut pada Mei 2017.

Empat individu yang dikemukakan sebagai saksi ialah bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah; Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminudin Yahaya; bekas Eksekutif Kanan Pusat Kajian Media Institut Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Harizal Hassan; dan penulis bebas, Helen Ang.

Sementara itu, peguam yang mewakili Kamarul Zaman, Khairul Azam Abdul Aziz, meluahkan rasa terkejutnya terhadap bantahan yang dikemukakan oleh pihak plaintif.

“Sehubungan itu, kami memohon mahkamah memberikan masa untuk menyediakan hujahan balas terhadap bantahan tersebut,” katanya.

Hakim Aliza kemudian memutuskan untuk mendengar hujahan lisan Sangeet hari ini, sementara Khairul Azam diberi tempoh sehingga esok untuk mengemukakan hujahan balasnya.

Hannah telah memfailkan saman terhadap Kamarul Zaman pada 2022 atas dakwaan bahawa pensyarah itu telah menerbitkan dua hantaran di Facebook antara 10 dan 17 Mei 2017, yang menuduhnya mempunyai agenda menyebarkan Kristian melalui politik.

Dalam hantaran tersebut, Kamarul Zaman memetik autobiografi Hannah bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey sebagai bukti bahawa beliau cuba memacu agenda Kristian serta berniat mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Kristian.

Bagaimanapun, dalam pernyataan pembelaannya, Kamarul Zaman menegaskan bahawa hantaran tersebut bukan fitnah dan dibuat atas dasar tanggungjawab bagi memberi amaran kepada orang ramai tentang kandungan buku tersebut.

Perbicaraan kes ini bermula pada 25 November tahun lalu dan hari ini merupakan hari keenam prosiding berlangsung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here