KEPALA BATAS – Dua lelaki tidak menyangka inspirasi daripada rakan mendorong mereka nekad berjalan kaki ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah.
Muhammad Farhan Khadid, 34, dari Pendang dan Shamsul Azrin Man, 43, dari Kota Sarang Semut, Kedah mengakui niat mereka memulakan perjalanan itu selepas melihat keberanian dua rakan mereka, Mohamad Al Bukhari Ellia, 26, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, yang berjalan kaki ke Mekah pada tahun lepas.
“Saya sudah lama teringin nak ke Mekah tapi hati saya tergerak selepas melihat semangat Bukhari dan Azizul.
“Mereka bukan sahaja berjaya tetapi mereka melakukannya dengan cara yang luar biasa, jalan kaki. Saya pun mula fikir, kalau mereka boleh, kenapa saya tak boleh?
“Saya buat solat istikharah dan yakin untuk mulakan perjalanan ini,” kata Farhan yang bekerja sebagai tukang perabot.
Menurut Shamsul pula, mereka merancang untuk berjalan sekitar 20 hingga 30 kilometer setiap hari sehingga ke Hatyai, Thailand.
“Perjalanan kami bermula hari ini dari Masjid Abdullah Fahim dan dijangka mengambil masa selama tiga minggu untuk sampai di Hatyai, kemudian ke Bangkok sebelum akhirnya menuju ke Jeddah.
“Buat masa ini, kami dahulukan umrah dan jika ada rezeki untuk menunaikan haji, Insya-Allah kami akan teruskan,” katanya.
Tambah Shamsul, mereka tidak mempunyai sebarang tajaan susulan rancangan untuk ke tanah suci terdetik secara tiba-tiba beberapa hari lalu.
“Meskipun keluarga terkejut namun mereka memberi sokongan,” katanya. – MalaysiaGazette