AMPANG – Sangka bunyi mercun tapi rupa-rupanya kenderaan di depan rumah dirempuh sebuah kereta!

Kejadian langgar lari itu melibatkan dua buah kereta milik wartawan Malaysia Gazette (MG) dan keluarganya di Taman Dagang Jaya di sini pada Jumaat lalu.

Ketika kejadian, Kasthuri Jeevandran serta keluarganya mengalami detik cemas dan terkejut dengan insiden yang berlaku.

Menurut belau, kejadian berlaku sekitar pukul 11.15 malam ketika beliau dan anggota keluarganya sedang tidur dan hanya menyedari insiden itu selepas terdengar satu dentuman kuat.

“Masa itu saya dan ahli keluarga semua sedang tidur. Bila dengar bunyi dentuman, pada mulanya kami sangka itu hanyalah bunyi mercun (sempena Tahun Baharu Cina).

“Namun apabila saya melihat dari tingkap bilik, kelihatan jiran-jiran sudah berkumpul di hadapan rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Apabila keluar rumah, Kasthuri terkejut apabila mendapati kedua-dua kenderaan miliknya dan ibunya mengalami kerosakan teruk.

Bumper salah satu kereta tercabut, kaca lampu pecah bersepai serta terdapat kemek di beberapa bahagian. Beberapa jiran yang berada di tempat kejadian turut memberitahu mereka keluar rumah selepas mendengar bunyi dentuman kuat itu,” tambahnya.

Bagaimanapun nombor plat kenderaan yang disyaki melanggar kereta mereka didapati tercabut dan terjatuh di atas jalan.

Dengan bantuan jiran, Kasthuri turut membuat semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai insiden itu.

“Melalui rakaman CCTV, kelihatan sebuah kereta berwarna putih dipandu laju memasuki kawasan perumahan sebelum tiba-tiba melanggar dua buah kenderaan kami dengan begitu kuat.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit terus memecut laju meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

Kasthuri pada malam yan sama telah membuat laporan polis di Balai Trafik Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Beliau juga membuat laporan tambahan dengan menyertakan bukti seperti rakaman CCTV dan nombor plat kenderaan pelaku.

“Pegawai penyiasat memaklumkan mereka akan menghubungi pemilik nombor plat tersebut selain menjalankan siasatan lanjut. Saya kini sedang menunggu perkembangan laporan serta rakaman percakapan dengan pemilik nombor plat berkenaan,” katanya.

Kasthuri dalam masa sama rasa kecewa dengan kejadian yang berlaku.

“Kereta kami diparkir dalam kawasan rumah sendiri. Tambahan pula, kawasan perumahan ini biasanya aman dan sunyi pada waktu malam.

“Insiden seperti ini benar-benar membuatkan penduduk berasa trauma.

“Bayangkan jika kejadian ini melibatkan nyawa. Kes langgar lari seperti ini sangat serius dan pelakunya tidak seharusnya terlepas begitu sahaja, ini juga sangat menyusahkan kerana kini saya perlu berurusan dengan syarikat insurans bagi proses baik pulih,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here