Daerah Paitan dan Sandakan dilanda banjir. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 9,379 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kejadian banjir di Sabah dan Sarawak telah mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu situasi penyakit berjangkit yang dilaporkan adalah sebanyak 671 kes melibatkan jangkitan salur pernafasan akut, 82 kes jangkitan kulit, 37 kes gastroenteritis akut, 17 kes konjunktivitis dan satu  kes penyakit tangan, kaki dan mulut.

Bagaimanapun, tiada kes Chicken Pox, Tifoid, Leptospirosis, Covid-19 dan kejadian wabak dilaporkan di PPS.

“Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) juga telah digerakkan. Jumlah MHPSS yang terlibat adalah tiga pasukan terdiri daripada pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, pegawai psikologi, anggota paramedik serta anggota kesihatan daripada pelbagai kategori.

“Pelbagai aktiviti intervensi teknik relaksasi, ekspresi seni serta psiko-pendidikan telah dijalankan. Sehingga kini, tiada mangsa banjir yang dikesan mempunyai masalah kesihatan mental yang memerlukan rujukan ke hospital,” katanya.

KKM berkata, secara keseluruhannya terdapat 30 fasiliti kesihatan yang terjejas banjir di Sarawak.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 22 fasiliti telah beroperasi semula.

Bagi Sabah pula, secara keseluruhannya terdapat 27 fasiliti kesihatan yang terjejas banjir dan kesemua fasiliti tersebut telah beroperasi semula.

Menurut KKM, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Sabah telah menggerakkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan masing-masing iaitu 37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan dari JKN Sarawak serta 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan dari JKN Sabah ke semua PPS terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here