KUALA LUMPUR – Tiada ada sebab UMNO mahu MCA atau MIC disingkirkan daripada Barisan Nasional (BN), kata Datuk Puad Zarkashi.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, mustahil BN menerima cadangan daripada ‘orang luar’.
Itu responnya berhubung pendedahan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengenai dakwaan cadangan ‘orang luar’ tertentu telah mencadangkan agar UMNO menyingkirkan MCA daripada BN.
Puad menambah, mustahil untuk parti akur dengan cadangan pihak luar malah UMNO lebih suka keanggotaan BN bertambah namun terhalang kerana peraturan BN menetapkan mesti ada persetujuan semua parti komponen.
“Jika kalau ada pihak luar khususnya DAP mahu UMNO singkir MCA atau MIC ia tidak akan berlaku. Mustahil UMNO boleh dicucuk hidung, DAP pun tidak akan berani.
“Justeru, MCA jangan takut bayang-bayang sendiri. Semua parti ada turun naik macam UMNO,” katanya dalam hantaran media social hari ini.
Sementara itu, Puad berkata, BN memiliki rakan yang setia dan mudah berunding dan ini terbukti menerusi Friends of BN.
“Sebab itu BN ada anggota berstatus Friends of BN seperti Makkal Sakti, Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Parti Punjabi Malaysia (PPM), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).
“Terbukti Friends of BN adalah rakan yang setia dan mudah berunding,” ujarnya.- MalaysiaGazette