Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa. Foto MUHD NA'IM, 18 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Nor diingatkan agar tidak keliru dengan dakwaannya sendiri apabila mengatakan parti Amanah Negara (Amanah) lahir dari DAP.

Timbalan Presiden Parti Amanah, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ia sama seperti beliau mengelirukan ahli-ahli Pas dengan dakwaan-dakwaan yang pelik tanpa membuat kajian rapi tetapi menjadi bahan politik murahan bermotifkan perkauman dan agama yang sempit.

Katanya, parti Amanah yang berusia 10 tahun pada 16 Ogos depan tetap istiqamah dengan cita-citanya untuk membawa rahmah kepada rakyat Malaysia.

“Walaupun kami kecil tetapi, kami tidak membawa politik fitnah dan kebencian. Kami membawa politik rahmah dan kesatuan.

“Sanusi boleh terus memperlekehkan apa sahaja yang tidak sebulu dengannya tetapi, rakyat menatap setiap tutur kata dan tindakan Menteri Besar Kedah itu.

“…pentaksub Pas hanya akan mengulang fitnah bahawa Amanah adalah DAP kerana kejahilan fakta, namun, hari ini panglima perang Pas berstatus menteri besar terbukti sah tarafnya semacam seorang pentaksub Pas bercakap tanpa fakta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mujahid menegaskan, laporan polis telah dibuat atas dakwaan yang dilemparkan kerana ia boleh mengukuhkan lagi naratif jahat perkauman yang dibawa oleh Pas untuk memecahbelahkan perpaduan yang dinikmati hari ini.

Dalam pada itu Mujahid berkata, Amanah adalah sebuah parti berpandukan kepada politik nilai dan bergerak dalam falsafah dan kerangka Rahmah dengan mengambil semangat ‘Rahmatan Lil Alamin’ (Rahmat Kepada Seluruh Alam) sebagai asasnya dan ia adalah parti Islam yang membuka keahlian kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum.

Jelas beliau, parti itu juga bergerak dengan menghormati kepelbagaian di Malaysia dan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, tujuan asal penubuhan Amanah adalah untuk membawa rahmah kepada semua kaum dan membentuk sebuah negara yang bertanggungjawab serta telus bersandarkan kepada prinsip Maqasid Syariah sebagai sendi terasnya.

“Slogan kami adalah Amanah, Progresif dan Peduli. Rahmah adalah singkatan kepada nilai teras yang kami pegang iaitu rahmah, amanah, hikmah, muafakat, adil dan hormat.

“Hasrat kami lahir kerana Pas membawa politik fitnah dan perpecahan bertopengkan Islam dalam labelnya bukan kerana kami disuruh oleh DAP!

“Amanah lahir atas hasrat untuk menjaga nama baik dan imej Islam dalam amalan siasah politiknya, bukan sebab cetusan daripada DAP,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here