KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan seluruh jentera kerajaan madani menzahirkan komitmen memastikan kek ekonomi digunakan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk pekebun kecil, petani, nelayan dan pemain industry pertanian serta rantaian bekalan makanan negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim jelas menzahirkan keprihatinan baginda terhadap usaha memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar dan membawa pelbagai peluang pelaburan agar kemajuan dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat jelata.
Perdana Menteri mengulas ucapan Sultan Ibrahim ketika mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini.
Beliau menambah, kerajaan akan membawa kepada revolusi sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan yang lebih baik apabila selesai dinaiktaraf sepenuhnya.
Anwar turut memanjatkan doa dan harapan semoga bumi bertuah Malaysia ini kekal aman makmur dan berdaya saing berpanjangan di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette