Tangkap layar daripada video pecah rumah yang tular. Ihsan Foto : Tular

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah di Bandar Baru Bangi yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Polis Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan tentang kejadian itu daripada seorang lelaki Melayu berusia 38 tahun kira-kira jam 11.15 malam, kelmarin.

“Mangsa mendakwa rumah ibu mertuanya telah dipecah masuk sekitar jam 7:47 malam pada hari yang sama, dengan dua bentuk cincin dilaporkan hilang.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang suspek lelaki yang belum dikenal pasti sedang melakukan jenayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Naazron turut memberitahu siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda jika disabitkan kesalahan.

Menurut hantaran ahli keluarga mangsa di laman Facebook, cincin yang dilarikan itu merupakan pemberian berharga daripada nenek mereka kepada adik mangsa, yang merupakan seorang individu dengan cerebral palsy.

Lebih membimbangkan, beberapa kejadian pecah rumah lain turut dilaporkan berlaku di kawasan Seksyen 4 Bandar Baru Bangi sejak November tahun lalu, dengan suspek dipercayai individu yang sama berdasarkan rakaman CCTV dan maklumat saksi.

Seorang penduduk tempatan turut berkongsi rakaman video dari 19 Disember 2024, menunjukkan seorang lelaki mencurigakan memasuki halaman rumah jiran.

Pihak polis kini giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau individu terbabit untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi balai polis berhampiran atau terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Norliza binti Sarini, di talian 013-3843868 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here