KUANTAN – Orang awam dialu-alukan merakam detik-detik indah untuk dijadikan memori sebelum perkhidmatan bersama Rapid Kuantan yang akan melabuhkan tirai di negeri ini menjelang Mei depan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, bagaimanapun orang ramai tidak perlu gusar kerana perkhidmatan bas henti-henti di daerah ini masih beroperasi dan dikendalikan oleh operator syarikat lain.
Perkhidmatan bas Rapid Kuantan sejak lebih 12 tahun lalu tidak diteruskan kerana syarikat berkenaan tidak mengambil bahagian dalam tender Stage Bus Service Transformation 2.0 (SBST 2.0) mulai 2025 hingga 2030 sebelum ini.
Ia sekaligus menolak spekulasi perkhidmatan pengangkutan awam di Kuantan dihentikan serta-merta ekoran kontrak syarikat berkenaan berakhir Mei tahun ini.
“Kurang tiga bulan lagi Rapid Kuantan akan meninggalkan sejarah di Pahang, jadi jom beramai-ramai rakamkan kenangan bersama Rapid Kuantan kerana selepas ini sistem pengangkutan bas di Kuantan akan dikendalikan oleh operator baharu.
”Orang ramai juga boleh kongsikan pendapat dan cadangan bagi menambah baik mutu pekhidmatan awam di negeri ini.
“Ambil gambar atau rakam video menarik pengalaman naik bas Rapid Kuantan sebagai kenangan, nanti bolehlah tag di TikTok akaun @yb_ir_razalikassim supaya saya dapat tengok,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Razali sendiri merasai pengalaman menaiki Bas Rapid bagi meninjau sendiri keperluan rakyat terhadap sistem pengangkutan bas di Bandaraya Kuantan yang telah banyak membantu rakyat di sini.
Meskipun kecanggihan perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Maxim memplopori dunia pengangkutan awam namun perhidmatan bas dalam bandar mesti diteruskan, katanya.
Menurut beliau, masih ada golongan yang memerlukan perkhidmatan berkenaan seperti masyarakat termasuk penuntut mahasiswa di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Justeru pandangan dan reaksi orang awam berkaitan sistem pengangkutan awam diperlukan agar pihaknya menerusi kerajaan negeri dapat mendengar dan menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat Pahang.
Rapid Kuantan sebuah syarikat pengangkutan bas oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang menawarkan perkhidmatan bas di kawasan Kuantan, Pahang dan telah dilancarkan pada 1 Disember 2012.
Menurutnya syarikat baharu yang mengambil alih perkhidmatan bas henti-henti di daerah ini dijangka memulakan operasinya Mei ini menerusi tender terbuka SBST 2.0. daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Razali menjelaskan, operator baharu juga perlu menyediakan pas bulanan (RM50) tanpa had dan kad konsesi untuk orang kurang upaya (OKU), pelajar dan warga emas dengan kos pendaftaran RM10 secara sekali bayar.
Tambah beliau, SBST 2.0 Kuantan merangkumi 16 laluan dan kesemuanyai dibuat kajian oleh APAD secara berkala bagi menilai kebekesanan perkhidmatan di laluan tersebut.
Kajian seterusnya akan dilaksanakan mengikut keperluan pengguna secara berfasa yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan dan pemegang taruh di negeri ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: