Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima Titah Diraja daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 03 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memuji pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan pada masa ini.

Baginda bagaimanpun berharap agar prestasi itu akan dapat terus dipertingkatkan pada masa akan datang.

“Saya bersyukur melihat perkembangan ekonomi termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik, nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.

“Pada tahun lepas, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara telah melepasi angka dua trilion ringgit untuk tempoh sembilan bulan pertama.

“Saya mengucapkan syabas kepada perdana menteri dan kerajaan di atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini. Saya harap ianya akan terus dipertingkatkan,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 03 FEBRUARI 2025.

Baginda berkata demikian ketika bertitah merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim turut menaruh keyakinan tinggi agar prestasi baik ekonomi baik negara ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat.

Sebaliknya jelas baginda, ia bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja.

“Oleh itu, saya menyambut baik pendekatan subsidi bersasar yang telah berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.

“Namun saya menggesa agar subsidi bersasar tersebut diagihkan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja,” katanya.

Sementara itu, Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 turut disiarkan secara langsung menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.

Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai esok.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.

Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari ini.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here