Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali

MELAKA – Melaka sudah pun ‘kehilangan’ nama Jalan Hang Jebat selepas laluan itu lebih dikenali sebagai Jonker Walk dan tidak perlu melenyapkan pula nama Jalan Hang Tuah dengan perniagaan seperti China Town itu.

Itu ketegasan Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang mahu cadangan mewujudkan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah berkonsepkan Jonker Walk sedia ada di Jalan Hang Jebat dikaji semula.

Menurutnya, walaupun idea berkenaan baik untuk membuka lokasi perniagaan berkonsepkan uptown, ia tidak seharusnya meniru konsep produk yang terarah kepada monopoli satu kaum semata-mata.

Pasar malam Jonker Walk

“Lihatlah Jonker Walk hari ini pun jalan yang digunakan itu adalah Jalan Hang Jebat tapi masyarakat tak mengenalinya dengan nama pahlawan termasyur di zaman Kesultanan Melayu Melaka itu.

“Sebaliknya orang hanya panggil jalan Jonker Walk sebab itu identiti Jalan Hang Tuah itu perlu dilihat dan konsep penjenamaan perlu diambil kira sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini.

Mengulas lanjut Mohd Ridhwan berkata, sesuatu kawasan yang hendak dibangunkan sebagai pusat komersial seharusnya mencontohi kawasan yang menggabungkan penglibatan semua kaum di negara ini.

“Mungkin kita boleh gabungkan beberapa konsep uptown di Melaka seperti juga Little India dan Uptown Pahlawan Walk supaya konsep kombinasi ini akan melahirkan impak yang lebih baik.

“Janganlan kita beri idea sebaliknya yang boleh menimbulkan situasi resah kepada masyarakat dalam usaha kita untuk merancakkan ekonomi rakyat dan negeri,” katanya.

Kontroversi Jonker Walk 2.0 timbul 25 Januari lalu apabila DAP mencadangkan Jalan Hang Tuah di sini dijenamakan semula menjadi pusat tarikan pelancong berkonsepkan Jonker Walk sehingga ia berjaya mendapat sambutan pelancong khususnya ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Idea spontan Setiausaha Organisasinya Low Chee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai kontroversi dalam kalangan pemimpin kerajaan dan pembangkang selain dibantah masyarakat setempat.

Untuk rekod, pasar malam pelancong Jonker Walk yang dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad di Jalan Hang Jebat sejak 2010 dengan majoriti adalah peniaga Cina sehingga ia mendapat jolokan China Town. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here