Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diangkat sebagai agenda nasional selaras dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Menjunjung kasih jua atas keprihatinan Baginda Tuanku terhadap usaha kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti dan berdaya saing melalui pemerkasaan sistem pendidikan, termasuk Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Sultan Ibrahim ketika bertitah pada pembukaan penggal keempat, Parlimen Ke-15 hari ini menyentuh beberapa perkara yang melibatkan pendidikan negara.

Antara perkara itu termasuklah agenda reformasi dalam Pendidikan, Latihan teknikal dan vokasional serta pembangunan belia yang akan melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti.

Dalam perkembangan lain Ahmad Zahid berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan budaya serta nilai murni Malaysia di peringkat antarabangsa, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi dalam sektor pelancongan.

Katanya, seperti yang dititahkan oleh baginda, adalah penting untuk semua memperkukuh keamanan dan menjaga kestabilan negara dengan memastikan Parlimen berfungsi sebagai platform semak dan imbang terhadap pentadbiran negara.

Malah kata beliau, baginda turut menyeru agar ahli Parlimen menjadi benteng perpaduan dan bukannya ejen perpecahan rakyat.

“Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sentiasa dikurniakan kesejahteraan, dilanjutkan usia serta dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT.

“Menjunjung kasih, Tuanku,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here