Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bergambar kenangan bersama masyarakat Orang Asli ketika hadir pada Majlis Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kerajaan mensasarkan seramai 1.6 juta pelancong memilih sektor pelancong inap desa dengan tinggal di homestay atau kampung-stay sepanjang tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu turut melibatkan penjanaan pendapatan sebanyak RM100 juta.

Tambah beliau, menjelang 2030, sasaran pelancong yang memilih sektor itu disasarkan sehingga lima juta orang dengan penjanaan pendapatan sebanyak RM500 juta.

“Sejajar dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, saya berharap ia dapat menjadi titik lonjakan bagi industri inap desa untuk terus berkembang, sekali gus memberikan manfaat besar kepada rakyat dan ekonomi Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat Koordinasi Inap Desa dengan Pihak-Pihak Berkepentingan Kali Ke-2 di Bangunan Parlimen, hari ini yang membincangkan mengenai beberapa isu yang dihadapi oleh pengusaha homestay di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) ke arah meningkatkan pendapatan dan taraf hidup khususnya warga desa.

Menurut Ahmad Zahid, sepanjang tahun lalu, PPHM yang berkonsepkan pengalaman (experiental program) berjaya menarik minat seramai 829,803 orang pelancong tempatan dan antarabangsa.

Sehingga Disember tahun lalu, ujar beliau, sebanyak 3,578 peserta dari desa telah menyertai PPHM dengan menjana pendapatan sebanyak RM54,896,725 sekali gus berjaya meningkatkan pendapatan serta taraf hidup penduduk desa.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengusaha inap desa supaya bersedia meningkatkan daya saing melalui penambahbaikan infrastruktur, pemasaran digital dan penyediaan pengalaman unik yang menonjolkan budaya serta keindahan semula jadi Malaysia.

“Saya turut menggesa agar pelbagai insiatif diambil bagi membantu pengusaha inap desa mengatasi cabaran antaranya pendigitalan, untuk meningkatkan visibiliti Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia terutamanya pelancongan berasaskan komuniti ke arah Kempen Melawat Malaysia 2026,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here