KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tiba-tiba menghadiahkan “kenaikan tarif elektrik” di tengah-tengah suasana meriah sambutan Tahun Baharu Cina.
Susulan itu, soal Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, apa lagi yang akan naik selepas ini.
“Umumkan sahaja terus, jangan buat rakyat menderita satu demi satu.
“Jika kerajaan berani mengumumkannya secara terus terang, rakyat tidak boleh membantah,” katanya.
Dominic mengingatkan Anwar agar tidak lupa janjinya pada 27 Disember tahun lalu yang menyatakan kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik membebankan rakyat.
“Saya bimbang kenaikan tarif elektrik ini akan mencetuskan kesan berantai, yang mana akhirnya perniagaan akan memindahkan kos tambahan kepada pengguna.
“Selepas kenaikan kali ini, bilakah lagi tarif elektrik akan naik?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kenaikan yang berterusan, bukan sahaja perniagaan akan terjejas, malah rakyat juga akan menanggung akibatnya.
“Jika kita mengambil subsidi diesel bersasar sebagai rujukan, apabila harga minyak meningkat, harga barangan juga turut melonjak, dan yang paling terkesan adalah rakyat biasa.
“Sama ada kenaikan tarif elektrik itu satu digit atau dua digit, beban kewangan pasti bertambah,” ujarnya yang memetik pengumuman TNB bahawa bermula Julai tahun ini, tarif asas elektrik akan meningkat daripada 39.95 sen setiap kWh kepada 45.62 sen, iaitu kenaikan sebanyak 14.2%.
Soalnya lagi: “Jika bukan 14%, jadi berapa? Selagi kenaikannya dua digit, ia bukan angka yang kecil, terutamanya bagi pengguna industri dan komersial, kerana tarif elektrik merupakan salah satu komponen utama dalam kos operasi mereka.”
Jelasnya, walaupun kenaikan ini disasarkan kepada golongan kaya atau industri yang memperoleh keuntungan besar, kerajaan tetap perlu memastikan ia tidak meningkatkan kos kepada sektor-sektor yang sudah pun terkesan dengan kenaikan harga, yang akhirnya boleh menyebabkan lonjakan harga barangan. – MalaysiaGazette