Norli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini dan didenda RM4,000 kerana menulis komen berbaur hasutan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong pada Disember lalu.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ke atas seorang pembantu tukang jahit kerana menulis komen berbaur hasutan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong pada Disember lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman denda berkenaan selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Norli Mohamed Yusof, 53.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerbitkan penerbitan melalui akaun Facebook Nori Norli dengan kata-kata menghasut bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu dilakukan di Bandar Seri Alam, di sini, kira-kira pukul 2 petang 11 Disember 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang pengadu telah melihat satu posting bergambar di sebuah akaun Facebook yang menunjukkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama-sama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran asam pedas popular di sini.

Pengadu melihat pemilik akaun Facebook Nori Norli iaitu tertuduh telah memuat naik komen yang berunsur dan mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam.

Semakan dan risikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati akaun Facebook Nori Norli didaftarkan di nombor telefon anak perempuan tertuduh.

Siasatan terhadap anak tertuduh mengesahkan bahawa akaun Facebook Nori Norli itu dimiliki dan dikendalikan ibunya yang juga tertuduh kes berkenaan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Abdul Latif dan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi dan P Rajagunaseelan.

Terdahulu, peguam memohon tertuduh dikenakan denda yang minimum memandangkan tertuduh mengaku salah selain melihat keadaan keluarganya.

“Tertuduh tidak bekerja tetap dan ketika ini beliau bekerja sebagai pembantu tukang jahit dengan gaji antara RM400 hingga RM500 sebulan, manakala suaminya pembantu gerai dengan gaji antara RM800 hingga RM1,000 sebulan,” hujahnya.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius.

“Kesalahan ini membabitkan kata-kata hinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang juga Sultan Johor, oleh itu hukuman setimpal adalah perlu supaya jadi pengajaran kepada pengguna media sosial yang lain supaya lebih berhati-hati dan berhemah menggunakan platform berkenaan,” katanya ketika berhujah.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap tertuduh dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast