oplus_0

MELAKA – Seorang wanita iaitu bekas pegawai kanan Jabatan Ketua Menteri Melaka direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas disyaki terlibat kes rasuah tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 42 tahun sehingga 8 Februari ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, bekas pegawai kanan itu direman bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan penyalahgunaan kuasa dan kedudukannya di jabatan berkenaan.

Kesalahan adalah dengan meminta sumbangan bagi Program Hari Keluarga/Sasaran Kerja Tahunan berjumlah RM5,000 sedangkan program itu tidak wujud dan wang berkenaan telah digunakan untuk kepentingan diri.

Selain itu, suspek juga secara tidak jujur menggunakan wang sumbangan duit raya berjumlah RM600 yang sepatutnya diberikan kepada 30 orang petugas di bawah seliaannya untuk kegunaan peribadi.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tahun lalu.

Terdahulu, suspek yang masih bujangditahan kira-kira jam 4.50 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka, Alai bagi membantu siasatan kes.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here