Kampung Baru Cina. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Usaha mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai produk pelancongan 2026 bercanggah dengan inisiatif perpaduan nasional.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, sepatutnya banyak pertimbangan asas dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, terdapat 613 Kampung Baru Cina di seluruh negara dan pada 2024 usaha mencalonkan ia sebagai tapak warisan dunia telah dibuat dengan bersungguh-sungguh.

“Ternyata, kesinambungannya adalah untuk meletakkan Kampung Baru Cina sebagai produk pelancongan 2026 bersertakan dana jutaan ringgit.

“Lain pula ceritanya dengan Kampung Melayu, contohnya Kampung Baru yang kini terhakis dengan ancaman kehilangan tanah dek menjadi tumpuan pemaju-pemaju. Akhirnya hilang Kampung Melayu atas nama pembangunan.

“Jika ada cadangan untuk mencalonkan perkampungan Melayu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan produk pelancongan, pastilah Kampung Baru Kuala Lumpur adalah pilihan terbaik.

“Perkampungan Melayu terbesar di ibu kota ini diwartakan pada tahun 1900 iaitu kira-kira 50 tahun sebelum kampung baru Cina didirikan di negara ini. Keluasan asalnya ialah 90 hektar atau 172 padang bola sepak. Paling penting, ia sarat dengan warisan budaya dan sejarah,” katanya dalam kenyataan.

Shahir berkata, berdasarkan sejarah, Kampung Melayu Cina pula merupakan kawasan penempatan yang dibuka untuk mengekang kaum Cina daripada menyokong Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1948.

Memetik sumber Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam, Shahir memberitahu, British mewujudkan kawasan ‘new village’ atau kampung baru bagi kaum Cina di Tanah Melayu adalah untuk mengelak daripada menyokong PKM.

Jelasnya, berdasarkan hujah sejarah asal penubuhan Kampung Baru Cina, ia bukan warisan tetapi ia satu sejarah gelap orang Cina yang sekiranya ditimbulkan semula dibimbangi akan mencetuskan rasa tidak harmoni antara masyarakat majmuk di negara ini.

“Diharapkan Kabinet Kerajaan Madani memperhalusi cadangan ini sebelum terlambat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here