KUANTAN – Perkembangan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berada di landasan tepat apabila kerajaan memberi jaminan ia akan siap dalam tempoh dua kali lagi sambutan hari raya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, projek tersebut membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kelantan dan Selangor kini mencapai 78.5 peratus setakat Januari lalu.
Menurutnya, tahap kemajuan yang menyakinkan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026.
“Manakala fasa kedua antara Gombak ke pelabuhan di Selangor akan disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028. Betullah Datuk Seri Darwis beritahu tadi, dua kali raya lagi siaplah ECRL.
“Alhamdulillah, projek ini (ECRL) bukan projek kecil tetapi projek yang besar dengan mengambil kira kerjasama pihak MRL (Malaysia Rail Link Sdn Bhd) CCC-ECRL (China Communications Construction Sdn Bhd),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Laporan Impak Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim.
Amir Hamzah juga optimis projek ECRL akan siap pada hujung tahun 2026 nanti dan beroperasi pada 2027 sekali gus membuka ekonomi di Pantai Timur untuk menarik lebih banyak pelaburan.
Difahamkan projek ECRL yang bernilai RM50.27 bilion sepanjang 665 kilometer itu adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menghubungkan negeri di Pantai Timur dengan Lembah Klang.
Manakala Darwis ketika berucap memaklumkan sebanyak 6,205 tiang Overhead Catenary System (OCS) bagi tujuan aliran elektrik telah berjaya dipasang di sepanjang jajaran ECRL di negeri Pahang dan Terengganu setakat Disember 2024.
Ia melebihi sasaran awal yang menetapkan pemasangan 3,000 tiang OCS sahaja bagi tahun 2024.
Projek ECRL telah menetapkan pembinaan sebanyak 41 buah terowong dengan jumlah panjang kira-kira 69 kilometer di sepanjang jajaran relnya bagi mengelak gangguan kepada hidupan liar dan mengurangkan penebangan hutan simpan. – MalaysiaGazette