Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika sidang media pada Program Wadah dan Forum Pendidikan Tinggi antara Malaysia dan Uzbekistan Kali Pertama di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 FEBRUARI 2025.

TANJUNG MALIM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima peletakan jawatan Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui surat rasmi pada Ahad lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau menghormati keputusan itu dan akan mengadakan pertemuan dengan Mohd Ekhwan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung keputusannya itu.

“Beliau memohon untuk memberi tumpuan kepada hal-hal lain dan atas semangat itu saya menerimanya. Saya akan berjumpa dengan beliau nantu untuk maklumat lanjut.

“(Berhubung dakwaan wujud fitnah dan tohmahan kepada Mohd Ekhwan), perkara itu nanti saya akan lihat nanti. Namun untuk setakat ini saya boleh mengesahkan bahawa beliau telah pun menghantar surat kepada saya (berkenaan hal meletakkan jawatan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Wadah dan Forum Pendidikan Tinggi antara Malaysia dan Uzbekistan Kali Pertama di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah,dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi Republik Uzbekistan, Yang Terutama Konratbay Sharipov serta Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Mengulas lanjut Zambry berkata, proses pelantikan Naib Canselor UKM yang baharu akan dibuat mengikut prosedur serta proses sedia ada.

“Beliau merupakan seorang naib canselor yang baik, dan dihormati oleh kawan-kawan beliau. Akan tapi oleh kerana kapasiti (keadaan), beliau menghantar surat (meletakkan jawatan) untuk memberikan tempuan (terhadap hal lain).

“Pada pihak kementerian kami mengucapkan terima kasih, dan beliau telah memberikan sumbangan yang baik kepada pembangunan universiti, serta kerjasama antara universiti yang beliau (telah) wujudkan selama ini,” katanya lagi.

Zambry terdahulu diminta mengulas berkenaan peletakkan jawatan Mohd Ekhwan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad lalu.

Media melaporkan, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Zambry atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau bagi menerajui UKM bersama barisan pengurusan utama.

Dalam kenyataannya sama, Mohd Ekhwan turut memohon kemaafan kepada warga universiti atas sebarang kekhilafan sepanjang tempoh kepimpinannya.

“Terima kasih atas segala fitnah dan tohmahan yang dilontarkan di mana laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah pun dibuat.

“Alhamdulillah. Saya dengan ini menarik diri dari segala Whatsapp rasmi universiti,” tulisnya sebagaimana dilaporkan media. – MalaysiaGazette

Terima kasih atas fitnah yang dilemparkan: Naib Canselor UKM letak jawatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here