ALOR GAJAH – Seorang pengawal keselamatan Klinik Pergigian Alor Gajah direman empat hari oleh Mahkamah Majistret bagi membantu siasatan kes mencabul seorang pesakit lelaki di dalam tandas klinik berkenaan, minggu lalu.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 19 tahun sehingga 7 Februari ini dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah kira-kira pukul 9.10 pagi.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira 12.05 tengah hari semalam.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi dilaporkan berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.40 petang Selasa lalu.
Ia berlaku semasa pengadu, pelajar universiti swasta lelaki berusia 19 tahun baru selesai menerima rawatan di Klinik Pergigian Alor Gajah.
Ketika berada di dalam tandas, pengadu ternampak suspek seperti sedang mengintainya sebelum mengetuk pintu tandas untuk menyuruhnya membuka lampu tandas.
Selepas berjaya menolak pintu tandas, suspek tiba-tiba memegang kemaluan pengadu menyebabkannya terus menolak suspek dan menutup semula pintu tandas. – MalaysiaGazette