SYDNEY – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun maut pada Isnin selepas diserang seekor jerung di sebuah pantai di Pulau Bribie di luar pantai Queensland, kira-kira 50 kilometer ke utara Brisbane.
Perkhidmatan Polis Queensland berkata, gadis itu mengalami kecederaan yang mengancam nyawa dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Televisyen Nine Network melaporkan gadis itu berenang kira-kira 100 meter dari pantai apabila dia digigit di lengan dalam kejadian yang berlaku pada jam 4.45 petang.
Susulan kejadian itu, Surf Life Saving Queensland memaklumkan pantai itu akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak.
Penduduk mendakwa terdapat banyak jerung di sekitar pulau itu tetapi serangan yang begitu dekat dengan pantai adalah satu “kejutan.”
Ia adalah serangan jerung ketiga di Queensland semasa musim panas.
Seorang lelaki berusia 40 tahun terbunuh pada 28 Disember lalu apabila dia diserang ikan jerung ketika memancing di bahagian selatan Great Barrier Reef.
Pada 2 Disember pula seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an dimasukkan ke hospital selepas turut diserang ketika memancing. – MalaysiaGazette