KUALA LUMPUR – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa, Ahad 2 Februari lalu.
Peletakan jawatan itu dimaklumkan menerusi satu pesanan kepada pihak pengurusan UKM.
Beliau mengucapkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui UKM bersama barisan pengurusan utama.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi yang memberi peluang kepada saya untuk menerajui UKM hingga ke tahap ini. Saya juga mendoakan UKM terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya semalam.
Dalam kenyataannya sama, Mohd Ekhwan turut memohon kemaafan kepada warga universiti atas sebarang kekhilafan sepanjang tempoh kepimpinannya.
“Saya mohon kemaafan kepada semua pengurusan utama, pengurusan tertinggi dan warga UKM atas segala salah dan khilaf saya sepanjang mengetuai universiti ini.
“Terima kasih atas segala fitnah dan tohmahan yang dilontarkan di mana laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah pun dibuat.
“Alhamdulillah. Saya dengan ini menarik diri dari segala whatsap rasmi universiti,” ujarnya tanpa memperincikan sebarang butiran lanjut.
Sementara itu UKM dalam hantaran di laman Facebook menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Ekhwan atas khidmat bakti dan jasa sepanjang menjalankan tugas sebagai Naib Canselor.
“Tulus ikhlas daripada Pengerusi, Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi dan Warga UKM,” katanya.
Mohd Ekhwan merupakan graduan UKM pada 1992 (Ijazah Am) dan 1993 (Ijazah Kepujian) dalam bidang Geografi (fizikal), Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan.
Beliau seterusnya memperoleh Sarjana (MSc) dari University of Manchester serta Doktor Falsafah (PhD) dari University of Newcastle Upon Tyne UK dalam bidang Pemodelan Hidrologi Sekitaran, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Pengurusan Sumber Air.
Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT serta jawatan pentadbiran dan akademik yang lain seperti Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). – MalaysiaGazette