Rayer
RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen kerajaan menimbulkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang sebelum ini dilarang untuk berceramah di negara ini.

RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkit perkara itu susulan laporan sebuah portal berita bahawa Zakir ada membuat ceramah di satu kawasan Parlimen di Perlis, baru-baru ini.

“Saya ingin tanya kepada PDRM terutamanya kepada ketua polis negara, adakah larangan ini masih lagi berkuatkuasa?

“Kalau ia masih berkuatkuasa, baru-baru ini portal berita The Scoop melaporkan, bahawa Zakir Naik telah membuat satu ucapan ataupun membuat dakwah terbuka dalam satu majlis di Kangar pada 2 Februari 2025.

“Sekiranya laporan ini benar, persoalan saya adalah, kenapa Zakir Naik tidak mematuhi larangan berucap dan berdakwah yang dikenakan keatas beliau?” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut Rayer, sekiranya larangan itu masih berkuat kuasa, adakah pihak polis akan mengambil tindakan menyiasat dan menuduh Zakir di mahkamah.

“Kalau pihak polis tegas, kita tidak double standard sama ada kepada warganegara atau orang luar yang datang ke Malaysia dan mereka perlu mematuhi apa-apa undang-undang arahan yang telah ditetapkan oleh pihak polis,” ujarnya.

Mengaitkan dengan perkara yang dibangkitkan, Rayer berkata, sebelum ini polis telah memulakan siasatan terhadap bekas ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selepas terdapat laporan polis yang dibuat ke atas mereka.

Ia termasuk siasatan yang dibuat terhadap seorang artis dan juga pelawak, Harith Iskandar dan juga pengguna laman Facebook, Cecilia Yap atas dakwaan telah menyentuh perkara berkaitan 3R (raja, agama dan kaum).

Katanya, sebagai warga negara semua pihak perlu menghormati sensitiviti agama, kaum dan perlu memastikan dalam apa jua perkara yang dilakukan tidak melanggar perkara tersebut.

“Ini merupakan satu keperluan yang mana di negara kita yang berbilang kaum, agama dan bangsa, mewajibkan kita sebagai rakyat Malaysia ataupun rakyat luar negara yang datang perlu menghormati sensitiviti agama, kaum dan bangsa ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here