Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Hari Bersama Media sempena pelaksanaan Mahkamah Rendah Syariah (bahagian Nafkah) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengeluarkan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan Dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan Dan Penganjuran Majlis Di Rumah Ibadat Selain Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, garis panduan itu akan menggariskan tentang penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan orang selain Islam.

Antara lain katanya, penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Tambah Mohd. Na’im, garis panduan itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.

“Contohnya ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agamanya; persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam dan elaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat.

“Yang lain adalah lokasi majlis tidak berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan tanah wakaf dan premis yang digunakan tidak mempamerkan syiar agama selain Islam.

“Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena minta Perdana Menteri menyatakan garis panduan yang terperinci berkenaan sambutan perayaan agama lain oleh umat Islam bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Mohd. Na’im menambah, garis panduan yang terperinci berkenaan sambutan perayaan
agama lain oleh umat Islam bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat telah dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini.

Kata beliau antaranya Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI
Kali ke-68 pada 12 April 2005 dan Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Pada Disember lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dikritik berhubung sesi nyanyian lagu Krismas yang diadakan di kementeriannya di Putrajaya yang menunjukkan beberapa umat Islam hadir di kalangan hadirin.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab, Nga dikecam kerana sepatutnya tahu bahawa adalah haram bagi umat Islam untuk menyertai perayaan agama lain yang bercanggah dengan akidah Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here