Peter Anthony

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atas sabitan berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan ditangguhkan sekali lagi.

Prosiding yang sudah tiga kali ditangguh itu sepatutnya berjalan pada Jumaat ini di hadapan tiga panel hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kepada media hari ini.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak rayuan Peter setelah bersetuju dengan dapatan hakim bicara Mahkamah Sesyen, bahawa ahli politik itu memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedangkan tertuduh mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.

Peter yang berjawatan Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa telah memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman jel maksimum tujuh tahun dan denda.

Peter mengemukakan representasi pertama namun ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Mei tahun lalu, beliau memohon AGC menerima representasinya supaya permohonan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda dibenarkan.

Sebelum ini, Peter melalui peguamnya, Datuk Nicholas Kow Eng Chuan telah memohon kepada mahkamah supaya rayuannya dapat didengari lebih awal supaya beliau dapat membersihkan nama sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah dalam masa terdekat ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here