KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil & Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) mengingatkan rakyat Malaysia sudah lama memahami batasan mereka dalam kehidupan berbilang kaum dan agama selama ini.
Namun kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini benar-benar mengecewakan berhubung garis panduan baharu yang menyentuh penyertaan orang Islam dalam acara keagamaan bukan Islam.
Kata Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar, sepatutnya Mohd Nai’m sudah memahami konsep rakyat hidup berbilang kaum serta batasannya dalam menetapkan garis panduan baharu itu.
Kerajaan tidak sepatutnya melarang individu Muslim daripada terlibat dalam acara atau urusan agama lain, katanya.
“Menteri harus ingat, pada tahun 2019, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kini telah berkenan menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam di Kuil Arulmigu Thendayuthapani, Johor. Keberangkatan baginda amat dihargai penganut Hindu yang merasa teruja dan dihormati. Inilah contoh kepimpinan berjiwa rakyat yang harus menjadi teladan kepada semua pihak.
“Sepatutnya sebuah kerajaan majmuk bawah satu bumbung yang kini diterajui oleh Madani ini lebih peka dan memastikan setiap keputusan dan tindakan haruslah berlandaskan kesejahteraan rakyat.
“Saya kagum dengan keprihatinan dan sikap Yang di-Pertuan Agong yang mesra rakyat. Jabatan Perdana Menteri perlu mengkaji semula garis panduan ini. Adakah ia akan melibatkan larangan terhadap penglibatan orang Islam dalam majlis perkahwinan dan acara sosial lain?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Sivakumar yang juga Bendahari Agung MIC menyarankan agar Mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Ke-126, yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini memberi kelonggaran terhadap garis panduan tersebut.
“Ingatlah Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia (WIHW) sedang diraikan di seluruh dunia bagi menggalakkan persefahaman dan muhibah antara agama.
“Malaysia harus terus menjadi contoh dalam keharmonian antara agama. Rakyat perlu diberi pendidikan dan kesedaran agar perbezaan kepercayaan tidak menjadi faktor yang merenggangkan hubungan antara kaum di negara ini,” tegasnya.
Mohd Na’im sebelum ini berkata, sebuah garis panduan bertajuk Garis Panduan Penyertaan Orang Islam dalam Perayaan Perayaan Antara Agama dan Istiadat Pengebumian, serta Lawatan dan Acara yang Diadakan di Tempat Ibadat Penganut Agama Lain akan dibentangkan di Parlimen bagi memberi hala tuju yang lebih jelas dalam memastikan penyertaan orang Islam tidak menjejaskan prinsip Islam. – MalaysiaGazette