KUALA LUMPUR – Malaysia kekal dengan pendirian seperti negara-negara Arab iaitu menolak sebarang rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan Tebing Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun Perdana Menteri masih meneliti kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencadangkan penempatan semula rakyat Palestin di luar wilayah mereka.
“Gaza…yang penting pendirian Malaysia kekal seperti mana negara-negara Islam yang lain…yang lain kita akan ulas kemudian.
“Kita sedang teliti kenyataan (Trump) dulu, kemudian kita akan ulas,” katanya ringkas kepada pemberita di sini hari ini.
Anwar ditanya berkenaan kenyataan berulang Trumph yang mencadangkan penempatan semula rakyat Palestin di luar wilayah mereka, termasuk di Mesir dan Jordan.
Malah Trump dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Netanyahu menyebut AS akan membangunkan semula Gaza dengan mengusir penduduknya dan menjadikan wilayah itu sebagai sebuah kawasan yang akan didiami masyarakat dunia.
Susulan kenyataan Trumph itu, enam menteri negara Arab yang mengadakan mesyuarat di Kaherah, Mesir, Sabtu lalu menolak sebarang rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Dalam satu kenyataan bersama, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Mesir, Pihak Berkuasa Palestin dan Liga Arab menyatakan sokongan penuh terhadap keteguhan rakyat Palestin di tanah air mereka serta hak sah mereka selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Terdahulu, Anwar berucap pada majlis pelancaran dua buah jilid buku yang berjudul A Malik Bennabi Reader serta penubuhan International Institute of Futures Studies yang terletak di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), UIAM Kuala Lumpur Kampus hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan isu kos pajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk pasukan keselamatan negara, Anwar berkata; “Itu Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) akan jelaskan.”
Semalam ketika sidang Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menuntut penjelasan kerajaan berhubung isu kos pajakan helikopter itu yang disifatkan beliau sangat besar jika dibandingkan dengan kos pembelian 32 buah helikopter yang dibuat Poland. – MalaysiaGazette