Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dibolehkan melepaskan tembakan dalam situasi dianggap ancaman terhadap keselamatan mereka atau pihak lain terutamanya keika menjalankan tugas rasmi di perairan.

Pemerhati Hubungan Antarabangsa dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, keizinan diberikan selaras dengan undang-undang yang membenarkan penggunaan kekerasan untuk membela diri atau mempertahankan kedaulatan negara dalam keadaan tertentu khususnya apabila berhadapan dengan ancaman secara langsung.

Bagaimanapun tindakan tersebut harus berlandaskan prinsip proporasionaliti iaitu tembakan hanya boleh dilepaskan apabila wujud ancaman terhadap nyawa atau keselamatan selain tidak mempunyai pilihan lain selain untuk bertindak balas.

“Dari sudut keselamatan, tindakan ini boleh dianggap sebagai langkah defensif yang selaras dengan prinsip kedaulatan negara dan penguatkuasaan undang-undang maritim terutamanya jika pegawai penguat kuasa diancam oleh pihak terbabit.

“Penggunaan tembakan juga mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan tindakan yang diambil tidak melanggar hak asasi individu yang terlibat dan selaras dengan undang-undang negara,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas insiden tembakan membabitkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dengan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu dekat Banting, Selangor pada 24 Januari lalu yang kini di bawah siasatan polis Bukit Aman.

Mengulas lanjut, katanya, insiden berkenaan berpotensi mencetuskan ketegangan diplomatik jika tidak ditangani dengan baik.

Sehubungan itu, Nur Ashikin berkata, kerajaan perlu memastikan tindakan yang diambil dapat dipertahankan secara sah dan jelas tidak melanggar hak asasi individu yang terlibat.

“Dalam sejarah hubungan serantau, insiden seperti ini sering membawa risiko eskalasi konflik atau tuntutan diplomatik sebagaimana yang pernah berlaku dalam isu perairan antara Thailand-Kemboja atau China-Filipina di Laut China Selatan.

“Jika reaksi media dan masyarakat Indonesia bersifat emosional, ia boleh meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Indonesia untuk bertindak balas, sama ada melalui nota diplomatik, rundingan peringkat tinggi atau sekatan kerjasama keselamatan tertentu,” jelasnya.

Katanya lagi, pendekatan strategik mengurus krisis sebegini perlu dilaksanakan secara seimbang.

Malaysia perlu bersikap neutral dalam siasatan, menjelaskan rasional tindakan yang diambil dan menggunakan saluran diplomatik untuk meredakan sebarang kebimbangan pihak Indonesia.

Mekanisme kerjasama seperti rundingan bilateral dan rondaan bersama juga boleh diperkukuh bagi mengelakkan insiden serupa pada masa hadapan, katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berpendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menggunakan peluang atas keakrabannya dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk memberi penjelasan mengenai insiden tersebut dan keperluan tindakan Malaysia Ketika itu.

“…Bukan hanya sebagai tindakan reaktif tetapi sebagai langkah pencegahan terhadap ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin berkembang,” katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pindaan undang-undang berkaitan penguatkuasaan maritim dan penyeludupan migran bagi mengelak ketegangan hubungan di antara Malaysia dengan Indonesia. .

“Pindaan kepada Akta Penguatkuasaan Maritim 2004 perlu memberi penekanan kepada kerjasama dua hala dan protokol yang jelas dalam mengendalikan insiden yang melibatkan warga asing, memastikan tindakan yang diambil proporasional dan tidak mencetuskan konflik diplomatik selain Malaysia perlu menggubal undang-undang yang lebih tegas terhadap penyeludupan migran, memperkukuh kerjasama keselamatan antarabangsa dan melibatkan Indonesia dalam operasi bersama.

“Pendekatan ini akan memastikan Malaysia dapat mempertahankan kedaulatan sambil mengekalkan hubungan baik dengan Indonesia,” ujar Nur Ashikin.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil alih siasatan kes itu berdasarkan siasatan dalaman ke atas anggota yang terlibat.

Beliau turut mengesahkan anggota yang disiasat direhatkan.

Sebagai rekod, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, dalam insiden yang berlaku baru-baru ini, dua suspek yang dipercayai warga asing yang berada di atas bot didakwa cuba menyerang pegawai Maritim Malaysia dengan parang sekitar pukul 3 pagi selepas mereka merempuh bot pegawai berkenaan sebanyak empat kali.

Pegawai Maritim Malaysia melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot suspek sebagai tindakan mempertahankan diri dan suspek melarikan diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here