Gambar IPD Kuantan

KUANTAN – Seorang lelaki berbangsa Cina ditemukan maut di dalam sebuah premis perniagaan penghawa dingin miliknya di Bukit Sekilau di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada ibu mangsa berhubung kejadian itu pada pukul 3 petang.

“Terdapat unsur-unsur jenayah didapati pada tubuh badan mangsa yang berusia 38 tahun dan berasal dari Sri Jaya, Maran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, siasatan dijalankan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bersama Pakar Patologi Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di lokasi terbabit.

Bertindak atas siasatan awal, Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki berbangsa Cina berusia 29 tahun yang merupakan kenalan kepada mangsa bagi membantu siasatan.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 11 Februari ini.

Beliau memohon kerjasama daripada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian sehingga boleh mengganggu siasatan pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here