SINGAPURA- Parlimen Singapura semalam meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan menyatu dan memperkukuhkan kuasa kerajaan, termasuk memperkenalkan penggunaan Perintah Sekatan (RO) bagi mengekalkan keharmonian kaum serta menangani ancaman berkaitan di negara ini.
RUU Mengekalkan Keharmonian Kaum (RH) dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K Shanmugam, bersama Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling.
Ia dibacakan bersama RUU Pindaan Perlembagaan Republik Singapura yang meminda kuasa Presiden bawah Perlembagaan bagi melaksanakan cadangan dalam RUU RH.
Antara langkah diperkenalkan dalam RUU RH ialah rejim RO bagi menangani kandungan yang memudaratkan keharmonian kaum, pendekatan berasaskan komuniti dalam menangani insiden perkauman, serta perlindungan bagi menghalang entiti berasaskan kaum daripada digunakan sebagai saluran pengaruh asing.