KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkasakan semua bahagian kelab itu apabila sah menandatangani tiga pemain import baharu yang memiliki nilai keseluruhan pasaran setinggi RM10.49 juta.
Trio Sepanyol itu adalah bekas penyerang Valencia Jonathan Viera, bekas pemain tengah Sevilla dan Swansea City Roque Mesa dan bekas pemain pertahanan Villarreal Alvaro Gonzalez yang sebelum ini bermain bersama legenda Portugal Cristiano Ronaldo di kelab Arab Saudi Al-Nassr FC.
JDT mengumumkan menandatangani pemain itu menerusi laman Facebook rasmi mereka, Johor Southern Tigers.
Meskipun hadir dengan status sebagai ‘kuda tua’, semakan menerusi laman sesawang transfermarkt.com mendapati Gonzalez bernilai RM4.59 juta disusuli Viera (RM3.2 juta) dan Mesa (RM2.7 juta).
Gonzalez berusia 35 tahun serta Viera dan Mesa, masing-masing berumur 36 tahun.
Memiliki pengalaman luas di pentas bola sepak Eropah, kehadiran mereka diangka mampu mencetuskan impak buat skuad Harimau Selatan di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Selasa depan, skuad bimbingan Hector Bidoglio dijadualkan menentang pasukan Australia Central Coast Mariners pada hari Selasa (11 Feb) di New South Wales, sebelum menamatkan kempen peringkat liga Zon Timur menentang FC Pohang Steelers dari Korea Selatan pada 18 Februari ini di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
JDT kini dalam kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat kalah mati selepas menduduki tempat keenam dalam Kumpulan A dengan kelebihan perbezaan gol walaupun berkongsi lapan mata bersama wakil China Shanghai Port dan Buriram United dari Thailand selepas enam perlawanan.
Hanya lapan pasukan teratas daripada 12 pasukan dalam peringkat liga akan mara ke pusingan 16 terbaik. – MalaysiaGazette