KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor, berkata kerjasama ini melibatkan penyelidikan akademik dan penerbitan ilmiah mengenai isu agama, ekonomi Islam, dan pembangunan masyarakat.
“Ini adalah langkah untuk memperkukuh hubungan dengan institusi penting negara demi meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan.
“Kami juga akan turut meneroka program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Dr. Ts. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri, dalam majlis menandatangani MoU, baru-baru ini.
Pihaknya juga komited menyediakan latihan tambahan, kursus profesional, dan peluang pembangunan untuk pelajar dan masyarakat agar mereka dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan selaras dengan keperluan industri.
“PMWP merupakan sebuah jabatan yang diiktiraf atas sumbangannya kepada masyarakat Islam, terutama dalam bidang agama dan kebajikan.
“Saya yakin kerjasama ini akan memberi manfaat besar bukan sahaja kepada kedua-dua institusi, tetapi juga kepada masyarakat,” tambahnya. – MalaysiaGazette