Abdul Rozak menunjukkan laluan yang akan ditutup sempena Thaipusam di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seramai 1,405 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi melancarkan lalu lintas serta kawalan keselamatan sempena sambutan Thaipusam di negeri ini pada Selasa depan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, sebanyak 22 pasukan khas juga telah ditubuhkan bagi memastikan kelancaran bermula daripada perarakan pedati emas dan perak sehingga selesai sambutan tersebut.

“Sebagai langkah proaktif, kita akan memantau seluruh perarakan dan kawasan sekitar bagi memastikan kelancaran sambutan Thaipusam yang dijangka akan dihadiri penganut Hindu serta pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Rozak berkata, beberapa jalan utama sekitar bandar ini juga akan ditutup bermula jam 10 pagi Isnin depan.

Jelasnya, antara laluan yang akan ditutup bagi perarakan kedua-dua pedati tersebut adalah Jalan Gottlieb, Lorong Air Terjun, Kebun Bunga, Taman Gottlieb, Jalan Burma, Jalan Wright, Jalan DS Ramanathan, Jalan Brown, Jalan Brother James, Jalan Park, Jalan Utama, Jalan Brook dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Pedati emas dijangka bergerak jam 6 pagi pada Isnin depan dari Lebuh Queen ke Jalan Air Terjun dan akan kembali pada jam 6 petang, Rabu, dari Jalan Air Terjun ke Lebuh Queen.

“Manakala pedati perak akan bergerak pada jam 7 pagi, 10 Februari dari Lebuh Penang ke Jalan Air Terjun dan kembali ke Lebuh Penang pada jam 7 malam, pada Rabu depan.

“Sehubungan itu, orang ramai terutamanya pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi arahan polis yang bertugas dan merancang perjalanan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 1.5 juta penganut agama Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada 11 Februari ini.

Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) RSN. Rayer berkata, semua pihak terutama kuil dan jawatankuasa yang terlibat sempena perayaan itu sedang melakukan persiapan rapi bagi memastikan ia berjalan lancar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here