KUALA LUMPUR- Markas Angkatan Tentera Malaysia melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau situasi dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan anggota Malaysia di Republik Demokratik Congo.
Cawangan Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama berkata, kesemua pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas dalam Misi Stabilisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Tambahnya, situasi keseluruhan juga terkawal.
Bagaimanapun, Cawangan Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama tetap menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa untuk menilai semula strategi terhadap MONUSCO di samping meningkatkan usaha diplomasi bagi mencapai penyelesaian berkekalan.
“Ketika ini pemberontak M23 telah menguasai sepenuhnya Bandar Goma, termasuk Lapangan Terbang Goma yang menempatkan Force HQ MONUSCO.
Ia juga mencetuskan ancaman kepada keselamatan pasukan pengaman PBB dan protes ganas di Kinshasa.
“Sejak 2 Feb lalu keadaan sedikit tenang dan M23 mengisytiharkan genjatan senjata secara unilateral pada 4 Feb atas faktor kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Konflik di timur Republik Demokratik Congo berpunca daripada eksploitasi sumber mineral, ketegangan etnik, kelemahan kerajaan.
Campur tangan pihak M23 yang mendakwa perjuangan mereka berasaskan kepentingan politik dan keselamatan etnik Tutsi serta ditambah dengan penglibatan Rwanda, menyebabkan ketegangan semakin memuncak.
Untuk rekod, MONUSCO ditubuhkan pada 1 Julai 2010 bagi menggantikan Misi PBB di Congo (MONUC) yang beroperasi sejak 1999.
Misi itu bertujuan menstabilkan di Republik Demokratik Congo selepas konflik berpanjangan, melindungi orang awam, menyokong proses politik, serta membantu pembinaan semula negara.
Dengan mandat yang lebih kukuh, MONUSCO dilengkapi pasukan intervensi khas untuk menangani kumpulan bersenjata.
Pertukaran pegawai dan anggota adalah mengikut penjawatan dalam tempoh masa setahun.
Keanggotaan pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas di MONUSCO terdiri daripada lapan orang, termasuk Pegawai dan anggota yang berkhidmat sebagai Pegawai Staf Tentera serta Pegawai Pemerhati Tentera,
Mereka ditempatkan di Force HD MONUSCO, Lava Site di Goma serta di Team Site KTJ.- MalaysiaGazette