MELAKA – Seorang anggota tentera berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Steve Jeff Anak Gansol, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Haderiah Siri sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa dengan cara menjilat kemaluan dan memasukkan jari ke dalam bahagian sulit mangsa.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat.
Manakala bagi pertuduhan kedua, di tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabi’i dengan cara memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa sama tanpa kerelaannya sehingga menimbulkan ketakutan kecederaan.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 377C kanun sama, tertuduh boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dan sebat.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik di sebuah rumah di Jalan Serindit, Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka pada jam 8.21 pagi, 30 Januari lalu.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain mencadangkan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat-syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu ikat jamin rendah atas alasan dia dalam keadaan mabuk ketika kejadian.
Selepas mendengar hujan kedua-dua pihak, Hakim Haderiah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 selain syarat-syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 6 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette