R. Heeran yang dilahirkan pada 14 Januari lalu perlu melakukan pembedahan segera dalam usaha menyelamatkan nyawanya.

BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi lelaki disahkan menghidap penyakit jantung sejak lahir memerlukan bantuan orang ramai sebanyak RM110,000 bagi menjalani pembedahan.

Pembedahan terhadap R. Heeran yang dilahirkan pada 14 Januari lalu itu perlu dilakukan segera dalam usaha menyelamatkan nyawanya.

Ibunya, L. Vasugi, 36, yang menghidap penyakit kulit bersisik atau ‘ichthyosis’ sejak lahir berkata, anaknya disahkan mengalami masalah ‘transpositionof the great arteries’ (TGA), ‘patent ductus arteriosus’ (PDA) dan ‘atrial septal defect’ (ASD).

Katanya, dia tidak merancang untuk mempunyai anak bagi mengelakkan anaknya mewarisi penyakit itu namun selepas disahkan hamil saya berada gembira.

Vasugi dan suaminya merayu bantuan orang ramai menyalurkan dana bagi pembedahan anak mereka.

“Saya sangat bersyukur apabila bayi saya dilahirkan normal bukan kulit bersisik macam saya namun dia menghidap penyakit lain iaitu kecacatan jantung kongenital.

“Kini nyawanya dalam bahaya dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan di hospital sejak lahir hingga kini,” katanya yang menetap di Kamuting, Perak.

Tambah Vasugi, Heeran perlu menjalani pembedahan segera demi menyelamatkan nyawanya, namun dia dan suami tidak mampu membiayai kos tersebut yang terlalu tinggi.

“Suami saya K.Ramu, 43, bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan harian sekitar RM70 manakala saya suri rumah.

“Doktor memaklumkan pembedahan perlu dilakukan dalam tempoh sebulan dan nyawanya terancam sekiranya ia ditangguhkan.

“Saya merayu kepada semua orang supaya menyumbang bagi pembedahan anak kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu mengumpul dana masyarakat selepas ibu bapa bayi tampil ke pejabatnya di sini baru-baru ini.

“Kita akan mengutip RM110,000 agar pembedahan dapat dilaksanakan segera kerana keluarganya tidak berkemampuan. Bayi kini mengalami jangkitan kuman dan pembedahan telah dijadual pada 15hb Februari depan.

“Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau layari onehopecharity.org,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here