KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen kerajaan bimbang Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan dan Penganjuran Majlis di Rumah Ibadat Selain Islam yang akan diperkenalkan oleh kerajaan bakal meningkatkan lagi jurang antara kaum di negara ini.
“Saya bimbang satu saja, kalau kita letakkan satu syarat atau garis panduan yang rigid, ia hanya akan menjadi halangan.
“Kami bimbang jika kami (secara tidak sengaja) melanggar garis panduan itu dan akan menyebabkan seseorang yang sebelum ini terbiasa dengan tradisi masyarakat setempat (meraikan kepelbagaian kaum) tidak lagi berani melakukan apa yang telah dijalankan (tradisi) sebelum ini.
“Seterusnya situasi itu akan menjauhkan hubungan antara kaum di negara ini. Walaupun tidak berniat jahat atau buruk tetapi saya bimbang perkara ini akan melebarkan lagi jurang hubungan etnik dan agama,” kata Ahli Parlimen Gopeng (Pakatan Harapan), Tan Kar Hing.
Bagaimanapun Kar Hing berkata, garis panduan itu masih di peringkat perbincangan dan pihaknya telah memanjangkan cadangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk mengadakan perbincangan meja bulat mengenainya di Parlimen.
“Memandangkan garis panduan ini masih berada di tahap perbincangan saya harap dalam perbincangan yang akan dibuat akan datang dapat dipertimbangkan untuk memperluaskannya (perbincangan) kepada pihak-pihak yang berkaitan,” tambah beliau.
Lantaran itu, beliau menggesa semua pihak mengamalkan budaya hidup harmoni dan persefahaman antara kaum kerana Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk.
Lagipun menurutnya, sejak merdeka atau sebelum itu lagi, cara hidup di negara ini sudah mengamalkan sikap persefahaman antara kaum.
Semalam, menerusi jawapan bertulis di Parlimen, Mohd Na’im memaklumkan, kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Garis panduan itu termasuk syarat mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama sekiranya acara itu melibatkan umat Islam serta memastikan ia tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat agama itu .
Antara unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam termasuk ucapan dan lagu berkaitan agama, risalah agama, persembahan atau ucapan yang menghina Islam; penganjuran acara ketika waktu solat umat Islam lokasi acara yang berdekatan dengan surau, masjid, tanah perkuburan Islam atau tanah wakaf serta premis yang mengandungi simbol agama bukan Islam. – MalaysiaGazette